Thursday, 20 April 2023

MEMPERKASA PAK21 MELALUI PEMBUDAYAAN INOVASI DAN “SUBJECT BASED CLASSROOM”

 

Memperkasa PAK21 melalui Inovasi & SBC

MEMPERKASA PAK21 MELALUI PEMBUDAYAAN INOVASI DAN
SUBJECT BASED CLASSROOM”

Pengenalan

Sekolah Kebangsaan Padang Pekan ditubuhkan pada tahun 2010 dan dikategorikan sebagai sekolah luar bandar.  Sekolah ini beroperasi dengan diterajui oleh Guru Besar bersama 4 orang Penolong Kanan, 44 orang guru, 4 orang Pembantu Tadbir (pejabat), 5 orang Pembantu Pengurusan Murid (PPM), 5 orang petugas pembersihan dan 4 orang pengawal keselamatan.  Mengurus seramai 605 orang murid daripada 18 kelas perdana Tahun 1 hingga 6, 2 kelas Prasekolah dan 4 kelas Pendidikan Khas (data pada 31 Mac 2022). Sekolah Kebangsaan Padang Pekan terletak berhampiran sawah padi yang luas dengan latar belakang keluarga murid yang pelbagai. Sekolah gred B di lokasi semasa bandar Jitra, 3 kilometer dari Pejabat Pendidikan Daerah Kubang Pasu (PPDKP).

Sekolah Kebangsaan Padang Pekan membangun dengan jalinan “teaching school” Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman (IPGKDA) tempat latihan amali guru-guru pelatih tahun 2016-2018. Kualiti pendidikan dilestarikan dengan terpilih sebagai sekolah Projek AMAN 2018 di bawah LeapEd Services, anak syarikat Yayasan Amir. Kemudian, dikenali pula dengan DTP AMAN 3.0 (District Transformation Programmes) mulai tahun 2019.

Peningkatan kualiti

Sekolah Kebangsaan Padang Pekan DTP AMAN berusaha merealisasi visi dan misi dalam meningkatkan kualiti pemimpin, kualiti guru dan kemenjadian murid secara holistik. Pengoperasian Sekolah Kebangsaan Padang Pekan merujuk kepada instrumen SKPMg2 dan PILL.S, mengutamakan pengajaran dan pembelajaran (pdpc) terancang yang berpusatkan murid, meningkatkan proses pembelajaran berasaskan projek menerusi pembelajaran abad ke-21 (PAK21).

School Improvement Partners+ (SIPartners+) PPDKP memberi bimbingan kepada Guru Besar dan Penolong Kanan atau “Senior Leader Team” (SLT) kepimpinan terancang dalam mengurus dan mentadbir sekolah. Manakala, SISC+ PPDKP pula membimbing pasukan pemimpin pertengahan atau “Middle Leader Team”  (MLT) yang terdiri daripada ketua panitia mata pelajaran.  SLT dan MLT sentiasa berganding bahu dalam  merancang pdpc secara berkesan, melaksanakan inovasi, intervensi dan kajian tindakan dalam memperkasa PAK21. Lawatan bimbingan SLT dan MLT secara konsisten ke sekolah telah merubah budaya dan penerimaan guru dalam penambahbaikan pdpc harian khususnya dalam  membudayakan PAK21.

Pelaksanaan “Professional Learning Community” (PLC) seperti “learning walk”, “peer coaching” dan “teacher sharing session” serta latihan (LDP) memberi kesan positif kepada MLT dalam membimbing guru-guru Sekolah Kebangsaan Padang Pekan seterusnya meningkatkan kualiti pdp. Kami berkongsi cara penggunaan pelbagai aplikasi atas talian, kaedah dan pendekatan terkini dalam memajukan pdp guru, selain memantapkan penggunaan aplikasi DELIMa yang dianjurkan oleh KPM.

Sekolah Kebangsaan Padang Pekan juga mengadakan jalinan dengan institusi pengajian tinggi berhampiran dan jaringan dengan sekolah-sekolah DTP AMAN yang lain. Jalinan dan jaringan ini membuka peluang perkongsian amalan terbaik dalam kalangan guru-guru daerah Kubang Pasu. Lawatan penanda aras ke sekolah luar juga membuka minda, mencetus idea, kreativiti serta membina kejelikitan dalam kalangan guru dan staf Sekolah Kebangsaan Padang Pekan.


Lawatan bimbingan oleh SI Partner+ dan SISC+


Lawatan penanda aras ke Makmal Sains

Cikgu Nor Hailmi, SMK Jerlun

Pembudayaan Inovasi

Berkat bimbingan Encik Saifudin Azam Shah, Pensyarah Cemerlang IPGKDA, Sekolah Kebangsaan Padang Pekan berjaya membangunkan produk-produk inovasi PAK21. Antaranya, inovasi M-FC SIBAT, SKUB Mate, Kit AJAM, ARANA, Superb Arm, M-D’SIFLe, Flash Tajwid, Interaktif Bacaan Solat, Al-Qari Studio, Animasi Kod Bacaan, Animasi Studio ZepetoWWF: The Last Tank dan Interactive Sewing Kit bersama Dr Sharifah Shafie, PPDKP. Pembudayaan inovasi kami meliputi mata pelajaran Bahasa Melayu, Matematik, Sains (STEM), Pendidikan Islam, Rekabentuk Teknologi (RBT) dan Teknologi Maklumat Komunikasi (TMK). Pengaturcaraan scratchzapcode serta pelbagai aplikasi kuiz interaktif atas talian dibangunkan. Inovasi ini digunakan oleh murid-murid kelas aliran perdana, Pendidikan Khas, Pemulihan Khas dan Prasekolah.

Kesemua produk inovasi Sekolah Kebangsaan Padang Pekan telah didaftarkan di bawah Perbadanan Harta Intelek (MyIPO). Produk-produk inovasi pdp guru dan murid ini, telah meraih pingat emas, perak dan gangsa dalam pelbagai pertandingan inovasi berprestij di peringkat kebangsaan dan antarabangsa tahun 2018 hingga 2021.  Selain tiga pingat emas, M-D’SIFLe juga memenangi Anugerah Khas Juri dalam DiICE anjuran IPGKDA, manakala ARANA (Augmented Reality in Mathematics) dan Flash Tajwid meraih Top 5 Young Scientist dalam Virtual Innovation Competition (VIC) 2021 anjuran UiTM Kelantan. Kesemua pertandingan inovasi disertai oleh guru-guru dan murid-murid Sekolah Kebangsaan Padang Pekan, pensyarah dan guru praktikum IPGKDA serta PPDKP.

   

Sebahagian medal dan sijil kejayaan pasukan inovasi

Inovasi MFC-SIBAT 2018 kami memulakan pdp berkesan PAK21 secara “flipped classroom”. Inovasi ini mendapat sokongan dan kerjasama ibu bapa sehinggalah terlaksana pdp di rumah (pdpr) dalam tempoh pandemik. Kesungguhan dan minat guru-guru terserlah dengan membeli sendiri aplikasi atas talian bagi memastikan pdp yang dilaksanakan berkualiti, menarik dan berpusatkan murid.


Inovasi SIGG UUM 2021 Pingat Perak


Hadiah kecemerlangan murid 2021

Pelaksanaan SBC

Dalam usaha menzahirkan misi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 (KPM, 2012) iaitu melestarikan sistem pendidikan yang bermutu untuk membangunkan potensi individu bagi memenuhi aspirasi negara, Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21) telah diperkenalkan dalam tahun 2014. Salah satu elemen penting dalam pengurusan PAK21 di sekolah adalah persekitaran pembelajaran yang kondusif. Justeru, guru-guru telah disaran oleh KPM untuk menyesuaikan bilik darjah mengikut susun atur kelas PAK21 agar lebih relevan dengan pelbagai keperluan dan kemahiran pelajar (James Ang, 2017).

Untuk meningkatkan kualiti pdp dan memperkasakan PAK21 di bilik darjah, Sekolah Kebangsaan Padang Pekan mengambil konsep amalan terbaik yang dilaksanakan di Sekolah Amanah dan TS25.  Lalu, tercetus idea menjenamakan semula bilik khas sebagai “Subject Based Classroom” (SBC).  Selain fungsi utama Pusat Sumber merentasi kurikulum, beberapa bilik khas yang suram ditinggalkan akibat pendingin hawa dan kemudahan lain yang rosak, telah dinaiktaraf (make over) dan diceriakan sebagai SBC.  Dalam projek rintis SBC ini, kami menambah baik  konsep bilik, fungsi, kemudahan fizikal dan membaik pulih kerosakan menjadi kelas yang kondusif berkonsep PAK21.

Setiap SBC dipertanggungjawab!kan kepada seorang atau dua orang guru mata pelajaran, iaitu Cikgu Roshita SBC Bahasa Melayu, Cikgu Hamimah Zamnah SBC Bahasa Inggeris, Cikgu Suhaida SBC Matematik, Cikgu Zainatulawiyah SBC Sejarah, Ustaz Mohd Jais SBC Bahasa Arab, Cikgu Khalilatussyahidah SBC Pendidikan Seni Visual (PSV), SBC Muzik Cikgu Nur Ameera Nabila serta Ustazah Shafini dan Ustazah Nurul Akmar SBC Pendidikan Islam atau Kafe PAI yang berkonsepkan kafe. Murid akan bergerak ke kelas guru untuk sesuatu masa pembelajaran iaitu di SBC guru berkenaan.

SBC Bahasa Inggeris mempamerkan

kreativiti guru


SBC Pendidikan Seni Visual ceria dengan pameran karya murid

SBC diurus dengan kos yang minima mengikut peruntukan sedia ada supaya tidak membebankan guru SBC berkenaan. Perbelanjaan pengurusan dan keceriaan SBC ini menggunakan peruntukan LPBT untuk pembelian cat dan meja banquetSBC juga menggunakan kerusi yang disumbangkan oleh Universiti Utara Malaysia (UUM) selain daripada perabot sedia ada di sekolah.  

Setiap SBC dilengkapi dengan televisyen dan kabel HDMI atau USB “mirroring” dari peruntukan Pusat Sumber. Selain itu, SBC juga dilengkapi dengan bahan bantu mengajar dan belajar (bbm dan bbb) menggunakan peruntukan PCG mata pelajaran dan DTP AMAN. Contohnya, pembelian alat tulis, kertas A4, kertas memo dan “mini white board”. 


Setiap SBC dilengkapi dengan televisyen


Murid-murid gembira belajar di SBC Sejarah


Memahami konsep lebih mudah secara audio visual di SBC Bahasa Melayu


Pembelajaran kendiri murid mengakses internet

di Makmal ICT PAK21

 Sekolah Kebangsaan Padang Pekan juga amat bertuah kerana menerima sumbangan daripada YTL Foundation untuk menaiktaraf bilik kepada “Frog Classroom” berkonsep PAK21. Bilik ini dilengkapi dengan 40 kerusi berwarna dan 14 buah meja membentuk separuh bulat, diurus oleh Cikgu Nurmayulis, guru Bahasa Melayu. Bilik ini dilengkapi dengan projektor LCD, skrin, laptop murid, wifi dan pdp melalui program DELIMa.  


PAK21 didik hibur

Bilik yang kondusif dan ceria


Murid gembira mempamerkan hasil kerja mereka

Selain SBC, makmal sains, makmal komputer PAK21 (Matematik), makmal komputer, bengkel RBT, bilik Celik Pintar (Pemulihan) dan bilik Self Access Learning (SAL) meneruskan fungsi yang sama.

Impak Pelaksanaan SBC

Pelaksanaan SBC menyerlahkan idea, meningkatkan kualiti pdp dan kreativiti guru-guru dalam menguruskan SBC masing-masing. Selain dapat memberi ruang dan kebebasan kepada guru, guru bersedia melaksanakan PAK21 menunggu murid hadir ke SBC. Guru tidak perlu lagi membawa bahan dan kelengkapan pengajaran dari kelas ke kelas. Penggunaan masa pdpc untuk menyediakan peralatan ICT seperti LCD dan komputer dapat dikurangkan. Proses pdp pembelajaran digital dan berpusatkan murid khususnya PAK21 dapat dilaksanakan. Hasil kerja murid dipamerkan di dalam SBC meningkatkan motivasi belajar murid serta evidens kepada pdp guru. Buku teks murid juga dicadangkan disimpan di SBC untuk mengelakkan beban beg berat murid.


Impak  pelaksanaan SBC kepada murid

Pembelajaran aktif murid

Murid berdisiplin beratur datang ke SBC, berdikari, mematuhi masa dan waktu pdp.  Pelaksanaan SBC dapat memberi suasana pembelajaran dan persekitaran yang berbeza dan menimbulkan rasa seronok di kalangan murid. SBC menjadi tarikan untuk murid belajar, penggunaan waktu pdp secara optimum dan tumpuan di dalam kelas. Murid lebih kreatif dan berlaku pembelajaran aktif murid. Paling penting, PAK21 dilaksanakan dan objektif pembelajaran dapat dicapai.

Penutup

Sekolah Kebangsaan Padang Pekan telah meraih pelbagai kejayaan hasil daripada keberkesanan pdp guru, kepimpinan terancang dalam mentadbir dan mengurus sekolah. Melalui kepimpinan ini, satu pasukan terbaik, patuh, bersungguh dan positif dibentuk. Kami berjaya mencipta pelbagai kejayaan bersama dan mengoptimumkan aktiviti kolaboratif warga Sekolah Kebangsaan Padang Pekan.


Lawatan PPD Marang


Lawatan Board Of Director Khazanah Nasional

Kunjungan dan lawatan PPD Marang, Board Of Director Khazanah serta lawatan-lawatan penanda aras ke Sekolah Kebangsaan Padang Pekan, telah mendorong pencapaian lebih berkualiti dan peningkatan kemenjadian murid secara holistik. Terima kasih kepada PPDKP, LeapEd dan DTP AMAN yang membimbing kami memacu kecemerlangan. Kami telah mengubah iklim prasarana sekolah kepada lebih kondusif untuk murid belajar berbanding dengan suasana tradisional.  Program SBC adalah pelengkap kepada PAK21, membolehkan PAK21 dilaksanakan secara optimum dan lebih berkesan. Paling ketara sekali adalah perubahan dari segi pengurusan kelas yang lebih sistematik berbanding dengan sistem kelas konvensional.

Penulis:
Sarina binti Zainudin, Guru Besar
Masyitah binti Md Tarmizi, Penolong Kanan Kokurikulum
Roshita binti Othman, Ketua Panitia Bahasa Melayu
Sekolah Kebangsaan Padang Pekan


Facebook SK Padang Pekan, Jitra DTP AMAN.


SKPP TV

SK Padang Pekan


Channel YouTube

Cikgu SK Padang Pekan


Padlet Inovasi PAK21

SK Padang Pekan